Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap seorang anggota tentera berpangkat koperal selepas mangsa yang sebelum ini cedera parah akibat dipukul, disahkan meninggal dunia hari ini.
Siasatan baharu itu dibuat susulan kematian mangsa, Prebet Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang disahkan meninggal dunia pada jam 9.34 pagi tadi.
Sebelum ini, suspek berusia 37 tahun telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kertas siasatan kini telah diklasifikasikan semula berikutan perkembangan terbaharu kes berkenaan.
“Proses siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dilakukan dengan mengklasifikasi kertas siasatan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut beliau, permohonan bedah siasat telah dibuat dan pihak polis akan meneliti semula semua keterangan saksi yang telah diambil sebelum ini.
Tambahnya, sekiranya perlu, rakaman percakapan saksi tambahan akan turut diambil bagi melengkapkan siasatan.
Sumber: Kosmo! Online








































