Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas mengamuk di sebuah restoran makanan laut di Jalan Akan Pandan 2, Telok Mengkuang, Kuala Langat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, lelaki itu dilaporkan membawa sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan, selain bertindak agresif merosakkan harta benda serta mengancam keselamatan orang awam.
Menurut Mohd. Akmalrizal, insiden berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila pihak polis menerima maklumat daripada anggota kenderaan pelbagai guna (MPV) Sektor 4 Telok Panglima Garang mengenai seorang lelaki yang mengamuk di restoran berkenaan.
“Setibanya di lokasi, polis mendapati suspek bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau dan sebatang rotan, memecahkan pelbagai barangan di restoran serta merosakkan tiga kenderaan milik orang awam di sekeliling kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, suspek turut melibas senjata ke arah anggota polis dan kenderaan MPV, sekali gus mengancam keselamatan anggota polis dan orang awam.
“Hasil tindakan pantas dan cekap pihak polis, suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut. Lelaki itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan kesihatan,” ujarnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan atau menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 427 atas kesalahan khianat, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.
Sumber: Facebook Polis Daerah Kuala Langat






































