Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

KPT Nafi Isu Kehilangan RM225 Juta Dana Penyelidikan, Tampil Perjelas Status Sebenar!

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak timbul isu kehilangan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta, sebaliknya jumlah berkenaan merupakan baki dana terkumpul daripada ribuan projek penyelidikan yang dilaksanakan sejak 2006.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah tersebut hanya mewakili 3.65 peratus daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang hampir dua dekad dan disimpan dalam akaun berasingan di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menurut kementerian itu, baki dana berkenaan terhasil daripada beberapa faktor termasuk penjimatan kos pelaksanaan, pelarasan keperluan penyelidikan, penyiapan projek lebih awal serta faktor teknikal dan pentadbiran tanpa menjejaskan objektif asal penyelidikan.

“Baki dana itu tertakluk kepada kawal selia, tatacara kewangan kerajaan serta kelulusan KPT,” menurut kenyataan itu.

KPT turut memaklumkan Jemaah Menteri pada 18 September lalu telah meluluskan mekanisme, tatacara pengurusan dan pengagihan baki dana penyelidikan tersebut.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Cadangan penggunaan semula dana itu melibatkan 20 universiti awam (UA) dan 41 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), yang akan dilaksanakan secara telus dan berstruktur dengan pemantauan berkala tanpa mengubah tujuan asal peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut KPT, perkara berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), sebelum kementerian memperoleh kelulusan secara sekali sahaja daripada Kementerian Kewangan pada 11 Februari lalu, tertakluk kepada pewujudan mekanisme pengurusan yang jelas.

Sementara itu, berhubung kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara Januari 2022 hingga Disember 2023, tindakan tatatertib telah diambil terhadap individu yang mengetuai penyelidikan berkenaan.

Tindakan tersebut diambil susulan pelanggaran tatakelola dan tatacara perolehan, selain laporan polis yang dibuat pada 15 Oktober 2025.

Advertisement. Scroll to continue reading.

UTM turut melaksanakan langkah pembetulan termasuk mengasingkan tugas pengesah dan pelulus serta mendapatkan kelulusan perbelanjaan daripada Lembaga Pengarah Universiti.

Dalam pada itu, KPT menegaskan pihaknya memandang serius laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan komited menangani kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.

“KPT akan terus bekerjasama dengan PAC, Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap syor penambahbaikan dilaksanakan berdasarkan kepada fakta yang jelas,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pada 24 November lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan baki dana penyelidikan KPT berjumlah lebih RM225 juta terbiar selama hampir dua dekad.

Ditulis oleh

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd