Pemain beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei bertekad untuk kembali lebih kuat selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kiri yang memaksanya berehat daripada saingan kompetitif buat sementara waktu.
Perkhabaran itu disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas keputusan pemeriksaan MRI mendapati terdapat koyakan separa ACL pada lutut kiri pemain berusia 25 tahun berkenaan, sekali gus menyaksikan beliau terpaksa melupakan beberapa kejohanan penting termasuk Terbuka Indonesia yang sedang berlangsung.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Ee Wei menzahirkan penghargaan terhadap semua penyokong yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat sejak berita kecederaannya diumumkan.
“Saya sudah menerima dan membaca semua mesej serta sokongan yang diberikan. Terima kasih banyak-banyak, ia benar-benar sangat bermakna buat saya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan keadaan dirinya semakin baik apabila sudah mampu berjalan perlahan-lahan selepas kecederaan itu berlaku ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu.
“Saya kini sudah boleh berjalan perlahan-lahan dan semua orang sudah tahu bahawa saya mengalami kecederaan ACL.
“Beri saya sedikit masa untuk berehat, fokus kepada proses pemulihan dan mencari jalan terbaik untuk kembali semula,” katanya lagi.
Kecederaan itu berlaku ketika beliau bersama gandingannya, Chen Tang Jie menentang pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura, sebelum mereka terpaksa menarik diri ketika sedang mendahului perlawanan.
Artikel lain: Impian Separuh Akhir Terkandas, Tan Jie-Ee Wei Tumpas Kepada Gandingan China
Situasi berkenaan jelas memberi tamparan kepada kem badminton negara, memandangkan pasangan ranking keempat dunia itu menjadi antara sandaran utama Malaysia menjelang beberapa kejohanan besar musim ini.
Walaupun terpaksa berehat panjang, Ee Wei tetap memberi bayangan positif bahawa beliau tidak akan menyerah, sebaliknya mahu kembali lebih kuat selepas melalui fasa pemulihan kecederaan ACL yang mencabar.
Sumber: FB 杜依蔚 Toh Ee Wei










































