Terengganu mencatatkan peningkatan mendadak kes perceraian yang dilihat sebagai petunjuk awal krisis sosial, sekali gus memerlukan tindakan segera dan menyeluruh daripada semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor, berkata statistik tahun 2025 menunjukkan kes perceraian meningkat kepada 3,810 kes berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada 2023, sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Menurut beliau, data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan negeri itu dalam kelompok lapan negeri mencatatkan kes tertinggi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Ini bukan sekadar statistik, tetapi amaran kepada krisis sosial. Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan kurang 10 tahun (dan berlaku) akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi serta ketidakstabilan emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sehubungan itu, Zuraida mencadangkan empat intervensi strategik bagi menangani isu berkenaan, termasuk memperkukuh kestabilan ekonomi melalui peluang kerjaya dan keusahawanan serta mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan sebelum perkahwinan.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan menambah baik kursus praperkahwinan dengan modul lebih praktikal, menangani campur tangan pihak ketiga serta memperkukuh intervensi terhadap isu sosial, khususnya penagihan dadah.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 296 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Terengganu tahun lalu, dengan antara punca utama ialah perselisihan faham dan pengaruh dadah.
Artikel lain: Perak Capai Sifar Miskin Tegar, 732 Ketua Isi Rumah Berjaya Ubah Nasib!
Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida turut mendedahkan peningkatan kes kanser dalam kalangan wanita di negeri itu yang semakin membimbangkan.
Katanya, jumlah pesakit kanser wanita meningkat 40 peratus dalam tempoh lima tahun, iaitu daripada 1,464 kes pada 2021 kepada 2,004 kes pada 2025 berdasarkan data Hospital Sultanah Nur Zahirah.
“Faktor obesiti dikenal pasti antara penyumbang utama peningkatan risiko kanser selari dengan dapatan kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi yang mengesahkan kaitan antara berat badan berlebihan dan kanser.
“Keadaan di Terengganu amat membimbangkan apabila 76 peratus rakyat negeri ini berada dalam kategori obes manakala satu daripada tiga remaja turut mengalami masalah berat badan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa langkah proaktif dilaksanakan termasuk memperketat piawaian nutrisi makanan di sekolah, memperkenalkan pendidikan pemakanan sihat secara praktikal serta memperluas kempen kesedaran berkaitan kaitan obesiti dengan risiko kanser dalam kalangan wanita.
Perkembangan isu ini dilihat memerlukan perhatian serius semua pihak bagi mengelakkan implikasi lebih besar terhadap kesejahteraan masyarakat.
Sumber: BERNAMA
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































