Dua beradik yang sebelum ini mencuri perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan kerja di Terengganu, menerima ‘balasan’ penuh bermakna apabila dihadiahkan duit raya, peranti iPad serta kelengkapan sekolah, hari ini.
Aesha Khadeejah Anuar, 10, dan adiknya Uwais Al Qarni, 8, turut menerima senaskhah al-Quran yang disampaikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif dalam satu kunjungan di kediaman mereka di Kampung Paya.
Ibu mereka, Liza Fadzilah Abdul Hamid, 49, berkata detik pertemuan itu bermula secara tidak dirancang apabila mereka terserempak dengan kenderaan dinaiki Perdana Menteri yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus.
“Anak-anak (Aesha Khadeejah dan Uwais Al Qarni) begitu teruja apabila dimaklumkan kenderaan yang melepasi kami itu dinaiki Perdana Menteri (Anwar).
“Mereka teringin bertentang mata dengan Perdana Menteri. Bagi tidak menghampakan dua anak saya itu, saya memandu ke LTSM untuk mencuba nasib memenui hasrat tersebut,” katanya, hari ini.
Menurut Liza Fadzilah, mereka menunggu hampir sejam sebelum tidak menyangka Perdana Menteri sanggup meluangkan masa menyantuni dua beradik itu sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada jam 10.30 malam.
Perdana Menteri turut tersentuh dengan keikhlasan dua beradik itu yang menghadiahkan duit raya berjumlah RM7 dalam pertemuan singkat sebelum beliau berlepas pulang selepas lawatan kerja di Terengganu.
Aesha Khadeejah berkata, dia dan adiknya memberanikan diri memanggil Perdana Menteri dengan panggilan Datuk Seri sebaik melihat beliau berjalan menuju pesawat rasmi kerajaan.
Artikel lain: Pelajar Autisme Hargai Pendidikan Percuma, Ucap Terima Kasih PM Anwar
Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 itu berkata mereka masing-masing sempat menyerahkan sampul raya kepada Perdana Menteri.
“Duit RM5 dan RM2 itu wang belanja sekolah saya dan adik. Kami beri duit raya sebab sekarang masih bulan Syawal,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kahar yang mewakili penyampaian sumbangan berkata Perdana Menteri turut berpesan agar kedua-dua beradik itu belajar bersungguh-sungguh.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Azli Adlan)










































