Masalah kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam yang menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri dan melakukan perkara negatif mencatatkan sedikit peningkatan susulan peluasan skop tinjauan yang dijalankan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, situasi itu memerlukan tindakan intervensi segera di setiap kementerian dan jabatan bagi memastikan individu terjejas mendapat bantuan sewajarnya.
Beliau berkata, pendekatan bersemuka oleh pegawai psikologi terhadap penjawat awam yang berdepan masalah kesihatan mental perlu diperkasakan sebagai langkah awal mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
“Namun yang pasti langkah intervensi kita laksanakan sesegera mungkin di setiap jabatan dan kementerian dengan cara pegawai psikologi melakukan intervensi secara pendekatan bersemuka dengan mereka yang menghadapi masalah tersebut.
“Sebenarnya perkara ini bukan hanya berlaku di negara kita, negara-negara maju sekalipun perkara ini berlaku.
“Jadi apa yang paling penting, langkah intervensi segera yang kita lakukan untuk memastikan pegawai-pegawai kita berada pada tahap kesihatan mental yang stabil dan boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam Madani di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Artikel lain: MINDEF Perkukuh Kebajikan Anggota, Mahu Prestasi Pelaburan Terus Dipertingkat Melalui Pengurusan Dana Berkesan
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, program ‘Happy At Work’ turut diwujudkan bagi membantu ketua jabatan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif, sekali gus mengurangkan tanda-tanda tekanan dan masalah berkaitan kesihatan mental dalam kalangan warga kerja.
Berdasarkan kajian Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2025, lebih 40,000 penjawat awam dikenal pasti mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri serta melakukan perkara negatif.
Sumber: Buletin TV3 (Deerina Sheikh Faisal)








































