Isteri mangsa bot terbalik dedah ada meminta jaket keselamatan atau life jacket berkali-kali kepada pemandu bot namun individu terbabit memberi alasan basah dan jarak perjalanan ke resort dekat sahaja.
Isteri mangsa bot terbalik minta jaket berkali-kali
Memetik laporan daripada Buletin TV3, A Sanggetha, 39, meluahkan bahawa dia berasa khuatir akan keadaan laut ketika itu memandangkan cuaca seperti mahu hujan dan terdapat ramai anak kecil yang menaiki bot terbabit.
“Kami berkali-kali minta life jacket (jaket keselamatan) daripada pemandu bot kerana waktu itu nampak macam nak hujan dan banyak budak kecil tetapi dia beritahu basah, tidak mengapa sebab jarak perjalanan ke resort dekat sahaja,” luah Sanggetha yang kehilangan suami dan anak bongsunya dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian, kelmarin.
Isteri mangsa bot terbalik dedah mereka dalam perjalanan pulang makan malam
Sanggetha bersama suami, dua anak serta beberapa rakan keluarga mereka menaiki bot untuk pulang ke resort selepas makan malam di Pulau Perhentian Kecil.
Mereka mula rasa bimbang apabila langit mula gelap dan hujan turun lebat, namun, rayuan mereka untuk mendapatkan jaket keselamatan ditolak dengan alasan tidak munasabah.
“Di bot, suami serta rakan-rakannya minta jaket keselamatan dekat pemandu bot tetapi dia kata basah, selain jarak ke resort hanya ambil masa 10 ke 15 minit, namun ketika dalam perjalanan pulang hujan lebat ditambah dengan keadaan sangat gelap dan bot yang dinaiki mulai terumbang-ambing.
Saya kemudian pegang kuat anak sulung kami, manakala suami pegang anak bongsu sebelum datang satu ombak yang amat besar menyebabkan bot terbalik,” katanya.
Berjaya selamatkan diri dengan anak sulung
Dia berjaya menyelamatkan diri bersama anak sulung mereka yang berusia sembilan tahun dengan bantuan seorang lelaki, namun sebaik dapatkan rawatan di klinik berhampiran, Sanggetha menerima berita duka suami dan anak bongsunya telah meninggal dunia.
“Rakan kemudian maklumkan yang suami dan anak bongsu saya sudah meninggal dunia termasuk seorang lagi anak kepada rakan suami.
Ketika ini saya tidak dapat berfikir apa-apa kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata, namun berharap tragedi seumpama ini tidak berlaku kepada orang lain,” ujarnya.
Artikel lain: Pemandu Bot Terbalik Di Perhentian Positif Bahan Terlarang, Ada 5 Rekod Lampau
Katanya, ini adalah percutian pertama mereka ke Pulau Perhentian untuk meraikan ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-40 tetapi kini, dia hanya mahu terus kuat demi anak yang masih ada di sisi.
Sumber: Buletin TV3
