Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaksanakan dua siasatan dalaman secara terperinci berhubung isu pentadbiran sekretariat serta pemalsuan dokumen tujuh pemain negara yang sebelum ini digantung badan induk bola sepak dunia itu.
Arahan tersebut dimaklumkan menerusi motivated decision setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, susulan keputusan mengekalkan hukuman terhadap pemain terbabit.
Berdasarkan dokumen itu, FIFA menekankan keperluan siasatan rasmi bagi mengenal pasti kelemahan tatakelola dalaman melibatkan proses pengurusan, pematuhan dan pengesahan maklumat pemain.
FIFA Arah FAM Dedah Dalang Isu Pemalsuan Dokumentasi
Menurut alasan bertulis tersebut, FIFA berkata pihak sekretariat perlu segera memulakan siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah segera bagi melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM,”menurut kenyataan.
FIFA turut menjelaskan tujuan siasatan adalah untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam pemalsuan maklumat pemain serta menilai semula keberkesanan sistem pematuhan dan tatakelola organisasi.
“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen; menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai-pegawai FAM,”jelasnya.
Dokumen sama turut menyebut bahawa siasatan perlu menumpukan fokus awal terhadap tiga individu yang dinamakan dalam prosiding.
“Sebagai fokus awal, siasatan tersebut mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding ini: Encik Nicolás Puppo dan Encik Frederico Moraes.
“Penglibatan mereka menimbulkan keraguan serius yang wajar disiasat secara menyeluruh,”jelasnya lagi.
Selain itu, FIFA mengarahkan siasatan tambahan melibatkan penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa.
Selari dengan itu, Jawatankuasa turut mengarahkan Sekretariat untuk memulakan satu siasatan berasingan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding ini.
Artikel lain: Isu Dokumentasi: TMJ Tak Setuju Setiausaha FAM Digantung Tugas -“Bukan Masa Nak Salahkan Sesiapa..”
Menurut kenyataan, siasatan berkenaan hendaklah menentukan keadaan yang membolehkan beberapa Pemain terlibat serta sama ada hukuman tambahan perlu dikenakan.
Sebelum ini, FAM memaklumkan pihaknya memohon alasan bertulis penuh bagi merujuk semula keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan penggantungan ke atas tujuh pemain terbabit.
Susulan keputusan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (anggaran RM1.9 juta), manakala tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irarzabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (anggaran RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Sumber: FIFA












































