Hasrat sepasang suami isteri pulang selepas menunaikan solat sunat Aidiladha berakhir tragedi apabila wanita berusia 47 tahun maut, manakala suaminya parah dalam satu kemalangan di Kilometer 29.4 Jalan Lama Kota Bharu–Kuala Krai, dekat Pekan Pulai Chondong, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira waktu pagi itu, motosikal yang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, kejadian tersebut mengakibatkan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, wanita yang membonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya, 44, yang menunggang motosikal parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian,” katanya.
Menurut beliau, pemandu serta penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sementara pemandu serta penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, video dan gambar kejadian tular di media sosial memaparkan pasangan tersebut terbaring di atas jalan raya sejurus insiden berlaku.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































