Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula yang difailkan oleh seorang lelaki untuk menggali kubur bapanya yang dikebumikan secara Islam, tujuh tahun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan tersebut setelah meneliti permohonan responden, afidavit serta hujahan bertulis yang dikemukakan.
Mahkamah Batal Saman Pemula
Foto: Kosmo! Online
“Atas pertimbangan dan kebarangkalian, mahkamah memutuskan untuk membenarkan notis permohonan difailkan responden ketiga, kerajaan Negeri Sembilan dan responden keempat MAINS,” katanya.
Untuk makluman, Roseli Mahat, 51, yang beragama Hindu telah memfailkan saman pemula dengan menamakan lima responden iaitu kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kerajaan Negeri Sembilan, MAINS, dan ketua polis negara pada 31 Julai 2023.
Roseli sebelum ini mendakwa bapanya, Mahat Sulaiman mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada 1941 dan meninggal dunia sebelum dikebumikan secara Islam, pada September 2017.
Foto: Utusan Malaysia
Peguam mewakili kerajaan negeri, Roziaton Mohd Nordin berkata, terdapat dua isu dibangkitkan, iaitu pemohon gagal menamakan pelaku kesalahan kecuaian ‘tortfeasor’ serta pemohon terhalang oleh had masa.
“Tuntutan pemohon jelas tidak berasas dan suatu penyalahan proses mahkamah, malah pemohon telah terhalang oleh had masa menurut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa aawam 1948.
“Pemohon telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakan tindakan ini dan hanya memulakan tindakan ini selepas enam tahun berlalu iaitu selepas melebihi 34 bulan atau hampir tiga tahun daripada berakhirnya kausa tindakan pemohon,” katanya.
Tambah Roziaton, berdasarkan perenggan 19 afidavit sokongan, bapa pemohon meninggal dunia pada 9 September 2017, oleh yang demikian kausa tindakan pemohon terhadap responden ketiga berakhir pada 9 September 2020.
Foto: Carian Google
Artikel lain: Polis Buru 2 Suspek Samun Kediaman Guna Senjata Di Muar
Barisan peguam mewakili MAINS diketuai Zainul Rijal Abu Bakar, berkata kertas kausa difailkan plaintif adalah tidak teratur dan perlu dibatalkan, sambil menegaskan penentuan sama ada si mati beragama Islam atau tidak adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur dalam hal ini dan kalau dia tidak puas hati keputusan pengebumian dibuat secara Islam, dia mesti memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman,” jelasnya.
Sementara itu, Peguam plaintif, S Karthigesan, memberitahu anak guamnya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Roseli dalam permohonannya memohon untuk menggali semula jenazah bapanya Mahat, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat, Seremban.
Roseli mendakwa dia dan lima lagi adik-beradiknya adalah anak hasil perkahwinan Mahat dengan seorang ibu berketurunan India.
Sumber: Berita Harian
