Pengalaman bertahun-tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menghalang seorang pesara tentera, Mohamad Shahirul Shahidan, 43, untuk beralih ke bidang seni solekan pengantin selepas bersara tiga tahun lalu, sekali gus menjadikannya sumber pendapatan utama keluarga.
Beralih bidang sejak 3 tahun lalu
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Shahirul menyatakan dirinya kini aktif sebagai jurusolek dan penata gaya pengantin sambil terus membina nama dalam industri kecantikan.
“Dari situ saya mula belajar asas solekan. Namun ketika itu saya tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal di kampung, jadi saya membuat keputusan untuk menyertai angkatan tentera pada usia 19 tahun.
“Alhamdulillah, saya diterima masuk dan selepas tamat latihan, saya ditugaskan di sebuah unit di Kementerian Pertahanan (MINDEF),” katanya.
Minat sudah ada sejak remaja lagi
Menurut Shahirul, minat dalam bidang solekan sebenarnya sudah bermula sejak usia 18 tahun selepas mengikuti demonstrasi jurusolek terkenal di Pulau Pinang, namun komitmen sebagai anggota tentera membuatkan minat itu hanya digerakkan secara sambilan pada hujung minggu.
Selepas bersara, dia kembali aktif dalam dunia tata rias walaupun berdepan cabaran awal akibat kekurangan pelanggan, namun peluang bekerja di butik serta sokongan rakan-rakan banyak membantu membina semula kerjayanya.
“Saya juga banyak belajar menerusi YouTube dan media sosial untuk menambah ilmu berkaitan dandanan serta penataan gaya pengantin lelaki,” ujarnya.
Ada pelbagai cabaran ditempuhi
Ketika ini, Shahirul bukan sahaja menerima tempahan solekan pengantin, malah turut mendapat permintaan untuk majlis makan malam, pertunangan dan pelbagai acara lain, dengan TikTok menjadi platform utama untuk mempromosikan perkhidmatannya.
Walau bagaimanapun, dia tidak menafikan cabaran dalam bidang ini tetap ada, terutama dalam memastikan kepuasan pelanggan serta menguruskan jadual kerja yang terhad bagi menjaga kualiti perkhidmatan.
“Setiap hari saya membuka dua hingga tiga slot sahaja. Perkara yang paling saya risaukan ialah jika pelanggan sudah membuat tempahan tetapi saya tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan atau kecemasan.
“Selain itu, saya juga bimbang jika pelanggan tidak berpuas hati dengan hasil solekan yang diberikan,” katanya.
Kepuasan berbeza berbanding kerjaya dahulu
Bagi Shahirul, dunia kecantikan memberikan kepuasan berbeza berbanding kerjaya terdahulu, selain membuka ruang untuknya bertemu pelbagai pelanggan dan menimba pengalaman baharu dalam industri tersebut.
“Saya rasa lebih selesa dan tenang kerana berpeluang bertemu dengan pelanggan-pelanggan yang memahami kerjaya saya. Saya juga dapat pengalaman baharu yang meningkatkan hasil kerja saya.
“Saya amat bertuah kerana pada peringkat awal melangkah ke bidang ini, selain rakan-rakan yang menawarkan kerja di butik, ibu dan keluarga juga adalah penggerak utama yang banyak memberi sokongan moral.
“Pada saya setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadikan kelebihan diri untuk beri yang terbaik dan perbaiki kelemahan untuk jadi orang yang lebih baik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Nurul Izzah Syamsul Fauzi), TikTok shahirulhaziq83







































