Polis tidak menolak kemungkinan unsur cemburu menjadi motif awal dalam kejadian seorang wanita ditikam di bahagian leher ketika berada dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, pada malam Ahad.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa saling mengenali sejak lebih setahun lalu, selain dipercayai berada dalam bidang pekerjaan yang sama sebagai ejen hartanah, meskipun tidak bekerja di syarikat yang sama.
“Setakat ini kita percaya terdapat unsur cemburu ataupun perasaan tidak berbalas, namun siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.
Difahamkan, mangsa yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Dalam kejadian tersebut, suspek yang merupakan seorang duda dipercayai menaiki kenderaan bersama mangsa sebelum insiden berlaku.
“Dalam beberapa minit selepas kereta tiba di lokasi, mangsa bertindak membunyikan hon kenderaan bagi menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri,” katanya lagi.
Tambahnya, tindakan pantas mangsa berjaya menarik perhatian orang awam yang berada berhampiran sebelum bantuan awal diberikan oleh pekerja gerai di kawasan terbabit.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan suspek serta mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Sumber: Sinar Harian









































