Gara-gara didakwa tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal, seorang wanita warga China bertindak agresif apabila menceroboh kawasan keselamatan di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 petang apabila suspek dipercayai memasuki kawasan pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki tiket penerbangan.
“Wanita terbabit kemudian bertindak agresif ketika pemeriksaan dilakukan petugas keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa berkenaan.
Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA kira-kira jam 1.45 petang pada hari sama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati wanita berkenaan merupakan warga China yang memasuki Malaysia pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya.
“Bagaimanapun, wanita terbabit dipercayai tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal,” katanya.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Sepang pada Ahad dan direman bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam, khususnya di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video yang memaparkan wanita berkenaan bertindak agresif di kawasan pelepasan antarabangsa lapangan terbang berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































