Seorang lelaki yang bakal berkahwin pada bulan depan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan rogol gadis berusia 13 tahun (pada tahun 2022)
Memetik BH Online, tertuduh Mohamad Haidil Haiqal Abdullah, 20, yang ditemani tunangnya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja kebun sawit didakwa rogol mangsa gadis bawah umur (mangsa) di sebuah rumah di Kluang dan ia berlaku antara Mei hingga November 2022.
Difahamkan, tertuduh merogol mangsa sehingga melahirkan bayi pada Mei iaitu seminggu selepas dia ditahan polis pada 30 April tahun lalu.
Artikel lain: Dua Lelaki Rohingya Tak Mengaku Rogol Remaja Perempuan 15 Tahun Bergilir-Gilir
Malah, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas bayi yang dilahirkan mangsa mendapati ia sepadan dengan tertuduh.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
“Dalam kes ini, mangsa masih di bawah umur dan kesalahan ini adalah serius. Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh,” katanya.
Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Februari ini untuk fakta kes, hukuman serta laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh pesalah muda.
Sumber: BH Online (Alias Abd Rani)