Seorang anggota pasukan pengaman Indonesia yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan serius yang dialami dalam satu letupan di selatan negara itu.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), mangsa, Koperal Rico Pramudia, 31, cedera parah selepas terlibat dalam satu “letupan projektil” di sebuah pangkalan di Adchit al-Qusayr pada malam 29 Mac lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Beirut.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, UNIFIL menyuarakan rasa dukacita atas pemergian anggota berkenaan.
“UNIFIL amat kesal dengan pemergian Koperal Rico Pramudia hari ini,” menurut misi itu dalam satu kenyataan.
Tanpa menamakan mana-mana pihak yang bertanggungjawab, UNIFIL turut menggesa semua pihak agar mematuhi undang-undang antarabangsa serta memastikan keselamatan anggota dan fasiliti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sentiasa terpelihara.
“Serangan sengaja terhadap pasukan pendamai merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan 1701, serta boleh dianggap sebagai jenayah perang,” menurut kenyataan itu.
Kematian Rico menjadikan jumlah keseluruhan anggota pengaman Indonesia yang terkorban di selatan Lubnan meningkat kepada empat orang dalam insiden berasingan sejak 29 Mac lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Khamis mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu susulan rundingan di peringkat duta di Rumah Putih.
Artikel lain: Serangan Di Lubnan, Pengunduran MALBATT Bergantung Kepada Keputusan UNIFIL
Gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan AS itu sebelum ini berkuat kuasa pada 16 April dan dijadualkan berakhir pada Ahad ini.
Sejak 2 Mac lalu, serangan Israel yang semakin meningkat ke atas Lubnan dilaporkan telah mengorbankan lebih 2,200 orang selain menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa negara itu.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































