Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Ada Apa Dengan Mpox? Boleh Merebak Melalui Pelbagai Cara Dan Kaedah

Kita sekali lagi digemparkan dengan pengisytiharan kecemasan kesihatan global berikutan wabak cacar monyet (Mpox) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos 2024 yang lalu. Ini berikutan lonjakan kes di Republik Demokratik Congo dan ancaman penularan ke negara-negara jiran yang menjadi sebab utama pengisytiharan ini. Di Malaysia, walaupun jumlah kes Mpox ini masih rendah dan terkawal, kita tidak seharusnya memandang ringan situasi ini.

Ada apa dengan Mpox?

Mpox, atau sebelumnya dikenali sebagai cacar monyet, adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus monkeypox dari kumpulan Orthopoxvirus. Secara amnya, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tanpa mengira orientasi seksual, walaupun data semasa menunjukkan kadar jangkitan yang lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan tubuh dengan lelaki. Gejala Mpox termasuklah demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, dan ruam atau luka pada kulit. Walaupun kebanyakan individu pulih tanpa rawatan, mpox boleh membawa komplikasi serius dan mengancam nyawa, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita hamil, dan individu dengan sistem imuniti yang lemah.

Terdapat dua jenis Mpox, clade I dan clade II. Clade I menyebabkan penyakit yang lebih teruk dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi, terutamanya clade 1b, manakala clade II biasanya menyebabkan gejala yang lebih ringan.

Mpox boleh merebak melalui pelbagai cara dan kaedah, termasuklah melalui sentuhan dengan cecair badan atau luka individu yang dijangkiti, contohnya sentuhan dengan ruam, keruping, atau luka pada kulit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan dengan objek atau permukaan yang tercemar, kerana virus ini mampu bertahan pada objek atau permukaan untuk jangka masa yang panjang. Titisan pernafasan yang terhasil melalui batuk atau bersin seseorang yang dijangkiti juga mampu menyebarkan virus ini. Sebagaimana virus HIV, mpox juga boleh merebak melalui hubungan seksual.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Rawatan dan vaksin

Buat masa ini, tiada rawatan khusus untuk jangkitan mpox, sebagaimana jangkitan virus yang lain. Kebanyakan pesakit selalunya akan sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan, namun rawatan simptomatik boleh diberikan, jika perlu, untuk mengurangkan gejala dan mencegah komplikasi kepada pesakit yang mempunyai risiko kesihatan lain.

Dalam kes-kes yang serius, ubat antivirus seperti tecovirimat (juga dikenali sebagai TPOXX atau ST-246) boleh digunakan. Melalui garis panduan yang dikeluarkan oleh WHO dan KKM, vaksin cacar (smallpox) juga telah terbukti berkesan dalam mencegah mpox dan boleh diberikan kepada individu yang berisiko tinggi. Terdapat dua vaksin utama yang digunakan untuk mencegah mpox, iaitu Jynneos (juga dikenali sebagai Imvamune atau Imvanex) dan ACAM2000.

Mpox

Imvamune adalah vaksin yang lebih baru dan diluluskan khusus untuk mencegah Mpox dan cacar. Ia diberikan dalam dua dos, dengan jarak empat minggu di antara kedua-dua dos. Manakala ACAM2000 pula adalah vaksin yang pada asalnya dibangunkan untuk mencegah cacar, tetapi nampaknya turut memberikan perlindungan terhadap mpox. Ia diberikan dalam satu dos melalui kaedah yang unik. Proses ini melibatkan penggunaan jarum khas dua mata (bifurcated needle) yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Jarum ini dicelup ke dalam larutan vaksin, dan kulit di bahagian atas lengan ditusuk beberapa kali (scarification) dengan titisan vaksin tersebut. Walau bagaimanapun perlu diingat yang ketersediaan vaksin mpox yang dinyatakan di sini adalah terhad dan hanya diberikan mengikut keutamaan kepada individu yang berisiko tinggi, seperti petugas kesihatan, kontak rapat kes mpox, dan individu dengan sistem imun yang lemah sahaja.

Setakat Ogos 2024, data KKM menunjukkan Malaysia hanya melaporkan sembilan kes Mpox sejak kes pertama dikesan pada tahun 2023, tanpa sebarang kematian dilaporkan. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan kes di beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand, yang telah melaporkan sebanyak 827 kes mpox, termasuk 11 kematian, sejak Januari 2022. Ini tentunya menimbulkan kebimbangan bahawa mpox mampu merebak dengan lebih meluas di rantau ini.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Apa yang perlu dilakukan

Pertama sekali, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak panik dengan situasi jangkitan mpox ini. Meskipun mpox adalah satu penyakit berjangkit yang serius, kebanyakan mereka yang dijangkiti sembuh tanpa komplikasi.

Artikel lain: Sweden Lapor Kes Pertama Varian Cacar Monyet Di Luar Afrika

Kedua, langkah-langkah pencegahan untuk melindungi diri kita dan orang lain sebagaimana jangkitan virus yang lain perlu diterapkan. Ini termasuklah mengamalkan kebersihan diri yang baik, mengelakkan sentuhan dengan orang yang dijangkiti dan menunjukkan simptom, mengelakkan berkongsi barangan peribadi, dan mengamalkan hubungan seks selamat.

Jika anda atau keluarga mengalami mana-mana gejala mpox seperti demam, sakit kepala, ruam, sakit otot, keletihan, luka pada kulit, maka segeralah mendapatkan rawatan perubatan. Pengesanan dan rawatan awal adalah amat penting untuk mencegah komplikasi dan merebaknya penyakit ini. Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat negara-negara yang terjejas oleh wabak mpox, seperti Thailand, dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin terlebih dahulu bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Wabak mpox adalah ancaman kesihatan global yang perlu ditangani dengan serius. Walaupun risiko di Malaysia masih rendah, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dari awal. Dengan kerjasama rapat semua pihak, kita dapat melindungi diri dan orang lain daripada mpox.

Penulis merupakan penyelidik bidang virologi dan Pensyarah Kanan di Institut Sains Biologi, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Dua beranak berdepan pertuduhan berasingan melakukan maksiat iaitu persediaan persetubuhan haram dan berkhalwat bersama pasangan masing-masing menerusi prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu...

Dunia

Penyanyi wanita, Chayada Prao-hom dilaporkan meninggal dunia dipercayai selepas menjalani tiga sesi urutan di sebuah kedai urut di wilayah Udon Thani, Thailand, pada Ahad....

Lokal

Polis menyerbu sebuah restoran barbeku selepas dikesan mempromosikan peralatan hidangan makanan dan minuman yang memaparkan cetakan gambar pemimpin komunis di Bandar Botanic, Klang semalam....

Lokal

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan seorang pegawainya yang mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan perkataan tidak sopan. Foto:...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd