Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sindiket seludup vape di kargo KLIA tumpas
Foto: Bernama
14 individu ditahan susulan sindiket seludup vape
Menurut laporan BERNAMA, sebanyak 14 individu termasuk enam pegawai kastam telah ditahan dalam serbuan di sekitar KLIA dan Putrajaya.
Sindiket tersebut terbongkar menerusi Ops Airways dan berjaya menahan suspek lelaki berusia 20 hingga 60-an yang mengakibatkan negara mengalami kerugian dari segi kutipan cukai dianggarkan berjumlah RM8 juta.
Foto: Utusan Online
“Pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menemukan 32,000 unit vape di dalam lori yang ditahan, dengan cukai dianggarkan bernilai RM1.9 juta,” kata sumber SPRM.
Serbuan di gudang pertama membawa penemuan 90,000 unit vape bernilai RM5.4 juta yang tidak dibayar cukai.
“Di gudang kedua, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape, menjadikan jumlah kerugian cukai kepada negara dianggarkan RM8 juta,” tambahnya.
Artikel lain: Merokok Di Restoran, Dr Dzulkefly Dedah Tok Mat Minta Sendiri Dikompaun KKM
Intipan selama tiga bulan mendedahkan vape yang diseludup tidak diikrarkan dan tiada dokumen dicatatkan.
“SPRM turut menyita wang berjumlah RM250,000, empat jam tangan, tujuh anting-anting, seutas rantai, tiga gelang tangan, dua cincin, satu pouch, dua beg tangan wanita, seutas tali pinggang, satu unit pemacu keras, satu unit monitor, dua unit pemprosesan pusat dan dua buah lori,” ujarnya.
Pada masa sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Kesemua 14 individu, termasuk enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu lain direman empat hingga lima hari bagi membantu siasatan.
Seorang pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber: BERNAMA