Pelajar senior yang didakwa terlibat dalam kes buli, pijak penuntut tahun dua Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mangsa mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.
Foto: BERNAMA
Menurut laporan Astro Awani, tertuduh Mohd Adil Mat Awang Ghani membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mengikut dakwaan, tertuduh berusia 22 tahun didakwa mendatangkan kecederaan secara sengaja kepada Muhammad Haziq Ahmad Rasyidi, 19, dengan memijak perut mangsa dengan memakai kasut but (but spike).
Insiden berkenaan didakwa dilakukan kira-kira jam 10.45 malam, di padang kawad Akademik Latihan UPNM, Sungai Besi pada 21 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau didenda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman meminta mahkamah untuk menetapkan jaminan sebanyak RM10,000, serta mengenakan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Namun peguam pembela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Diana Basher telah memohon pengurangan jumlah jaminan tersebut dengan alasan tertuduh masih bergantung kepada ibu bapa, baru sahaja menamatkan pengajian dan sedang dalam tempoh latihan.
“Sekiranya syarat tambahan yang dikenakan itu ketat, maka ia akan menganggu proses latihan tertuduh,” kata Nurul Diana.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu, satu lagi kejadian melibatkan pelatih tahun dua yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang dilaporkan berlaku di UPNM, 21 Oktober lalu sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap dengan seterika oleh pelajar tahun empat.