Pengawal Sultan Johor didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu pekak, Ong Ing Keong, 47, dalam kejadian di hadapan lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.
Menurut laporan Malaysiakini, selepas menunggu keadilan selama lima bulan, namun pemandu e-hailing itu meluahkan rasa kecewanya kerana gagal menatap wajah anggota polis yang menyerangnya walaupun pelaku sudah dikenakan denda.
Foto: Carian Google
“Dia juga kecewa kerana penyerangnya dilepaskan dengan hanya denda RM1,000.
“Ong sangka dia akan berdepan dengan penyerangnya di mahkamah bersama peguam dan hakim seperti yang dia tonton dalam drama,” katanya menerusi bantuan penterjemah bahasa isyarat melalui mesej teks.
Ong dan Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (DAWN) menyatakan kekecewaan mereka dengan ‘hukuman ringan’ yang dijatuhkan itu.
Foto: Malaysiakini
Setiausaha Agung DAWN, Anthony Chong berkata bahawa Ong menjangkakan gambar penyerangnya akan didedahkan.
“Ong kata bahawa sekadar nama orang itu tidak memadai. Mana gambar dia? Dia nak tengok mukanya. Malangnya, dia tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai kes tersebut. Semuanya berlaku secara tiba-tiba.
“Ong tidak berpuas hati kerana semuanya berlaku tanpa pengetahuannya,” luahnya kesal.
Foto: X @Scoop
Walau bagaimanapun, Chong menegaskan bahawa Ong tidak akan mengalah dan akan terus meneruskan perkara itu tetapi tidak mengulas lanjut.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Semasa kejadian, anggota polis itu sedang mengiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut meminta tindakan diambil berhubung perkara berkenaan.
Keputusan mahkamah menimbulkan persoalan?
Menerusi satu kenyataan pagi ini, DAWN turut menyatakan kekecewaan dan kebimbangan yang mendalam berhubung keputusan mahkamah semalam.
Foto: Malaysiakini
“Keputusan mahkamah telah menimbulkan persoalan serius di kalangan masyarakat pekak dan orang ramai.
“Selama lima bulan, Ong dan komuniti pekak menunggu, mengharapkan sistem negara ini akan memberikan penghakiman yang adil dan seimbang. Bagaimanapun, keputusan itu menyebabkan ramai yang berasa mereka diabaikan, tidak dihormati dan tidak disokong oleh mereka yang sepatutnya menegakkan keadilan,” tambahnya.
DAWN menyatakan bahawa Ong mengalami ketakutan dan tekanan psikologi ekoran insiden yang telah berlaku selain gusar sama ada dia boleh mendapatkan perlindungan daripada mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang atau tidak.
“Keputusan mahkamah gagal mempertimbangkan kesan jangka panjang ke atasnya. Sebaliknya, hukuman ringan itu memberi gambaran bahawa keganasan, walaupun oleh pihak berkuasa, boleh diterima – pandangan yang DAWN tidak boleh dan tidak akan terima,” katanya.
Foto: Sinar Harian
Bukan itu sahaja, DAWN juga was-was sehingga mengajukan soalan, adakah pelaku adalah orang yang sama dirakam dalam kamera papan pemuka yang menyerang Ong?
Sebelum ini, tindakan tatatertib yang diambil terhadap pegawal itu tidak berkaitan dengan serangan tersebut tetapi atas kegagalannya mengisytiharkan hartanya dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) didakwa diserang pengiring kepada orang kenamaan telah diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur, hampir tiga jam, pada 1 Jun lalu.
Sumber: Malaysiakini (RK Anand)