99 Speed Mart Retail Holdings Bhd yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia baru-baru ini pertahan struktur imbuhan syarikat dengan menjelaskan bahawa jumlah gaji yang ditawarkan kepada pekerjanya adalah adil.
Memetik laporan Berita Harian, Speed Mart, yang mengendalikan rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia di bawah jenama 99 Speedmart menyatakan gaji tersebut mematuhi sepenuhnya Akta Pekerja (Pindaan) 2022.
Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart, Yong Eng Kwang berkata syarikat tersebut beroperasi dalam sektor pasar mini yang menghadapi cabaran dan keadaan yang unik, oleh itu perbandingan dengan industri lain harus mempertimbangkan perbezaan ini.
99 Speed Mart pertahan jumlah gaji pekerja
“Di bawah Akta Pekerja (Pindaan) 2022, gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan.
“Ini memberi jaminan bahawa 99 Speed Mart bukan sahaja memenuhi keperluan undang-undang ini, malah, kami membayar lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab perbincangan tular berkenaan keadilan gaji dan kepuasan pekerja dalam syarikat tersebut selepas pengasasnya berjaya mencapai status bilionair sekaligus menjadi antara orang yang terkaya di Malaysia.
Pengurus cawangan 99 Speedmart, khususnya didakwa hanya memperoleh gaji purata RM2,387 sebulan.
Eng Kwang berkata sebagai tambahan kepada gaji asas, syarikat itu juga menawarkan pakej faedah komprehensif buat pekerjanya seperti kenaikan gaji tahunan, bonus akhir tahun dan akses kepada klinik panel dengan lawatan perubatan yang boleh dituntut.
Selain itu, syarikat itu juga menawarkan peluang pertumbuhan kerjaya dan peluang latihan, kad SIM percuma dengan data 40GB dan panggilan tanpa had serta baucer makanan percuma.
Artikel lain: 99 Speed Mart Sedia Kembang Perniagaan Ke Asia Tenggara Jika Ada Peluang
Berkenaan waktu bekerja pula, beliau menjelaskan bahawa kedai 99 Speedmart beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan bayaran lebih masa turut disediakan.
“Kakitangan yang diminta bekerja lebih masa dibayar lebih masa dan ia dilakukan atas persetujuan kedua-dua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengenai jawatan kosong yang tular dalam talian dengan memetik gaji pada 2020, Eng Kwang berkata angka tersebut tidak menggambarkan struktur gaji semasa.
“Hari ini, sebagai contoh, beberapa pengurus cawangan kami yang telah lama berkhidmat memperoleh lebih RM4,000 sebulan, yang kami percaya adalah pampasan yang adil untuk dedikasi dan kerja keras mereka.
“Pekerja kami adalah tulang belakang 99 Speedmart, dan kami komited terhadap kesejahteraan mereka.
“Kami juga memahami tekanan kewangan yang dihadapi ramai orang pada masa kini, itulah sebabnya kami bekerja tanpa jemu untuk memastikan harga kami rendah, memastikan barangan keperluan kekal mampu milik untuk semua orang,” jelasnya.
Sumber: Berita Harian (Azanis Shahila Aman)