Ibu kepada Al Fateh Fikry Amri, Sabrina Hakiem Zaini akan kembali bertugas sebagai guru selepas cuti sekolah pertengahan penggal kedua ini.
Foto: Facebook Sinar Harian
Menurut laporan BERNAMA, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Sabrina sangat komited untuk melaksanakan tugasnya di sebalik ujian yang ditempuhinya ketika ini.
“(Sabrina akan kembali bertugas) selepas cuti September inilah (cuti sekolah pertengahan penggal kedua dari 13 hingga 21 September). Jadi beliau buat keputusan untuk meneruskan (kerjaya sebagai guru).
Foto: Facebook Sinar Harian
“Nampak beliau masih mempunyai semangat yang kuat dalam pendidikan dan merupakan guru yang sangat komited,” katanya ketika menziarahi Sabrina dan keluarganya di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah semalam.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan akan memberi segala sokongan dan bantuan diperlukan guru itu, termasuklah persediaan untuk beliau kembali bertugas nanti.
“Kita beri tumpuan dulu dari segi psikososial dan mungkin juga persiapan untuk beliau kembali mengajar sebab sebelum ini beliau cuti agak lama,” katanya.
Foto: Utusan Malaysia
Terdahulu, bayi berusia lapan bulan itu maut selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Susulan kejadian itu, seorang wanita berusia 34 tahun yang bekerja di taska tersebut ditahan pada Jumaat lalu oleh pihak polis bagi tujuan siasatan.
Bapa mangsa, Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim memaklumkan anaknya baru lima hari dihantar ke taska itu dan lebih menyayat hati, mereka sudah menunggu 13 tahun untuk dikurniakan zuriat.
Sumber: BERNAMA