Dua anggota Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) hadapi kesukaran dan terpaksa ditarik naik daripada lubang tanah jerlus dalam usaha mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas.
Memetik laporan Bernama, pemerhatian di lokasi tersebut mendapati kedua-dua anggota itu lengkap berpakaian skuba dan telah turutn ke lubang pada 3.06 pagi dengan diawasi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang lain.
Selaman itu dilakukan selepas JBPM mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter semalam.
Penyelam tanah jerlus hadapi kesukaran hampiri objek tersekat
Foto: Berita Harian
Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam sahaja, kedua-dua penyelam itu ditarik naik untuk keluar dari lubang berkenaan dengan bantuan anggota lain sebelum dinyahkuman dan dibersihkan.
Sementara itu, penyelam terbabit sempat memaklumkan secara ringkas bahawa mereka tidak dapat menghampiri lokasi objek tersekat disebabkan keadaan arus air di dalam lurang kumbahan itu.
Menerusi tinjauan, JBPM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi di media sosialnya mahupun memberi kenyataan kepada media yang berada di lokasi kejadian.
Foto: Berita Harian
Pada malam Rabu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata pasukannya mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.
Katanya, pengesanan itu dilakukan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie yang dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa selain pengesanan kamera.
Foto: Berita Harian
Susulan itu, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan lewat malam tadi bagi memudahkan pergerakan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.
Insiden tanah jerlus telah menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy yang berusia 48 tahun dair Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini.
Sumber: Bernama