Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) sebagai usaha memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dengan pelbagai isu nasional dan global.
KPT memaklumkan program tersebut akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 16 hingga 18 Ogos 2024.
Foto: Facebook KPT
“Program yang melibatkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 buah negara ini merupakan komitmen KPT dalam menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa.
“Kesemua mereka berpeluang untuk penyerlahan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan, dan kemahiran pengucapan awam,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
KPT turut memaklumkan, penganjuran julung kali ini menjadi pentas menemukan pelbagai latar belakang pelapis pemimpin bagi membuka perspektif baharu dalam memahami kedinamikan peranan antara satu sama lain.
“Antaranya dalam kalangan para pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa selain kepimpinan daripada sektor pendidikan tinggi negara.
Foto: Facebook officialmppk
“Menteri-menteri Kabinet juga akan berdiskusi dalam tujuh sesi forum mengenai pelbagai topik berkaitan kepimpinan,” ujarnya.
Sementara itu, program iFUTURE 2024 dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pula dijadual akan menyampaikan ucaptamanya dalam program berkenaan pada 17 Ogos ini.
Foto: Bernama
Majlis penutupan program itu diadakan pada 18 Ogos 2024 dan akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Semua sesi dan forum yang berlangsung sepanjang program itu boleh disaksikan secara langsung di Facebook rasmi KPT selain Facebook rasmi atau saluran rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).