Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan berhubung kononnya akan berlaku rombakan Kabinet sekali lagi di bawah pentadbirannya.
Menurut laporan Astro Awani, Anwar sebaliknya menegaskan ‘tidak mendengar’ mengenai rombakan Jemaah Menteri yang dijangka berlaku sekurang-kurangnya menjelang akhir bulan ini.
Foto: Astro Awani
“Itulah baru saya diberitahu (mengenai dakwaan rombakan Kabinet). Saya tak dengar lagi. Siapa nak tolong rombakan Kabinet? Siapa nak tolong?
“Saya tak dengar. Serius, saya tak dengar,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini.
Foto: Astro Awani
Sebelum ini, terdapat satu dakwaan bahawa seorang menteri daripada Parti Keadialan Rakyat (PKR) mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada Jemaah Menteri.
Selain itu, terdapat juga dakwaan dari sumber Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenai terdapat perbincangan tentang rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos.
Foto: Astro Awani
Dakwaan tersebut kononnya beberapa orang timbalan menteri dijangka akan dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet buat kali pertama yang bertujuan untuk membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan serta keadaan semasa, setahun selepas menerajui pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Sumber: Astro Awani (Hasimi Muhamad)