Bintang tinju yang juga atlet kontroversi Algeria, Imane Khelif melayakkan diri ke final selepas berjaya menewaskan wakil Thailand, Janjaem Suwannapheng dalam pertarungan separuh akhir sukan Olimpik Paris, pagi tadi.
Menurut satu laporan Reuters, peninju yang menjadi pusat pertikaian jantina itu menjamin sekurang-kurangnya pingat perak bagi kategori 66kg wanita di Roland Garros.
Foto: Berita Harian
Dalam pusingan pertama, kedua-dua petinju cuba menjaga jarak dan beraksi dengan berhati-hati, tetapi Khelif mempamerkan aksi perlawanan yang lebih baik daripada lawannya dari Thailand itu.
Teknik bintang Algeria itu membolehkannya terus melakukan pukulan dan menyapu mata kad skor hakim walaupun Suwannapheng kelihatan seolah-olah menguasai perlawanan pada pusingan kedua.
Pada pusingan akhir, Khelif mengejar Suwannapheng dan memberikan pukulan pedas sekali gus meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara, 5-0.
Foto: Berita Harian
Kedua-dua peninju memberikan penghormatan akhir sebelum Khelif diumumkan sebagai pemenang yang kemudian disambung dengan sorakan para peminat.
Khelif meraikan kemenangannya dengan tarian kecil dengan senyuman lebar di wajah selepas sahaja lawannya meninggalkan gelanggang.
Khelif akan menentang sama ada pemain daripada Taiwan, Chen Nien-chin atau Yang Liu dari China pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.
Sumber: Reuters