Polis menahan tiga anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai terlibat dalam kes rompakan bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih tengah malam Rabu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menjalankan tangkapan ke atas suspek yang terlibat.
Foto: Scoop
“Dua orang suspek lelaki warganegara berumur lingkungan 32 hingga 35 tahun ditahan di Batalion 19 PGA Cheras, pada Rabu, manakala seorang lagi suspek lelaki berumur lingkungan 24 tahun telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, kira-kira pukul 1 petang pada Khamis.
“Dua orang suspek direman tujuh hari bermula 1 hingga 7 Ogos, manakala seorang lagi suspek akan dibuat permohonan reman pada 2 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau juga berkata, penahanan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.17 tengah malam Rabu.
Foto: Google
“Siasatan kes di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti lebih berat) yang memperuntukan hukuman mati,” tambahnya lagi.
Hussein sekali lagi menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pegawai mahupun anggota yang terlibat dalam salah laku jenayah dan siasatan akan dilakukan sepenuhnya mengikut jenayah yang dilakukan tanpa sebarang kompromi.
Sumber: Facebook Polis Selangor