Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pemenang yang memenangi pingat emas pertama dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bakal terima wang ganjaran sebanyak RM2 juta.
Wang ganjaran tersebut ditaja oleh tiga syarikat iaitu Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre bagi memotivasikan kontinjen negara seramai 26 atlet.
Pemenang pingat emas olimpik pertama bakal terima RM2 juta
Foto: The Edge Malaysia
Sementara itu, Menteri KBS, Hannah Yeoh mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga penaja tersebut atas sumbangan dan kepercayaan mereka terhadap kontinjen negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara.
“Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,” katanya.
Yinson Holdings Berhad akan menyumbangkan sebanyak RM1 juta, manakala Matriz Concepts Holdings Berhad dan MJ Health Screening Centre masing-masing memberikan sejumlah RM500,000.
Justeru itu, jumlah keseluruhan adalah RM2 juta yang bakal diterima bagi atlet yang memenangi pingat emas pertama Malaysia di Paris.
Sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata antara pemenang pingat emas pertama tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yinson Holdings Berhad, Lim Chem Yuan percaya penajaan ini akan mendorong para atlet untuk mempamerkan persembahan hebat di Paris.
“Kami sentiasa mencari peluang untuk menyumbang dalam sukan Malaysia dan cara yang terbaik untuk melakukannya dengan memberi inspirasi kepada atlet yang bertanding di Olimpik.
“Kami berharap sumbangan kami akan membakar semangat mereka untuk beraksi dan mencipta sejarah dan memenangi pingat emas pertama Malaysia di sukan Olimpik Paris,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata pihaknya mahu mewujudkan persekitaran positif dan memotivasikan para atlet.
“Menjadi hasrat kami agar kontinjen negara yang bertanding di Paris mampu mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pertama.
“Kami ingin mewujudkan persekitaran positif yang mana para atlet boleh memantau dan memotivasikan satu sama lain, berusaha hingga ke keringat terakhir untuk mendapatkan emas pertama,” kongsinya.
Foto: Sinar Harian
Sementara itu, Pengarah Urusan MJ Health Screening Centre, Mike Tee berkata ia merupakan prinsip asas mereka untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup sihat.
“Selaras dengan visi ini, kami ingin memberi sumbangan kepada kontinjen negara dan kami positif sukan Malaysia akan mencipta sejarah di Sukan Olimpik,” katanya.
Terdahulu, Top Residency memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah.
Manakala Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad, Lim Keng Heng turut menjanjikan RM1 juta kepada pemain kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program mereka iaitu Bakat Badminton SS.
Selain itu, pengeluar kereta dari negara China iaitu Chery Malaysia turut tampil menghadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.