Dua penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah lori selepas pemandunya mengalami serangan jantung yang kemudian turut merempuh enam kenderaan lain dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Dugang, Sepang pada Rabu.
Foto: Media Sosial
Menerusi satu laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada jam 9.46 malam.
“Siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 9.10 malam itu melibatkan sebuah lori, empat kereta dan dua motosikal.
“Pemandu lori terbabit dari arah Putrajaya menghala ke Jenderam dipercayai mengalami serangan jantung di lokasi kemalangan mengakibatkan lori terbabit hilang kawalan ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam kenderaan lain,” katanya.
Foto: Media Sosial
Beliau juga berkata, insiden terbabit mengakibatkan dua mangsa yang merupakan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa masing-masing berumur 53 dan 31 tahun itu maut di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Putrajaya.
“Seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori terlibat mengalami kecederaan parah akibat kejadian dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Putrajaya,” ujarnya.
Foto: Media Sosial
Wan Kamarul juga memaklumkan insiden berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian