Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap pengumuman penurunan harga telur ayam sebanyak tiga sen yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebagai perkara lawak.
Menerusi hantaran sinis yang dimuat naik oleh Fayhsal di laman Facebooknya, dia berkata hebahan berita tersebut sepatutnya dilakukan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.
Foto: Free Malaysia Today
“Inikah pengumuman yang Fahmi Fadzil beria-ria nak suruh kita tunggu daripada YAB Perdana Menteri ke-10 kita itu?
“Takkan ini tahap pengumuman Perdana Menteri? Bang Mat Sabu pun cukup kot.
“Kerajaan ini kuat berlawak. Rosak punah makna Madani,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa kecewa kerana beliau menjangkakan Anwar bakal mengumumkan satu mekanisme komprehensif untuk menurunkan harga barang.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu tidak melihat sebarang kenyataan mengenai pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.
Bagaimanapun, harapannya meleset memandangkan penurunan harga telur hanya melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM100 juta sahaja.
Foto: Gambar Hiasan
Sumber: Facebook Wan Ahmad Fayhsal