Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia akui banyak perubahan positif terutama daripada segi mental lebih tenang ketika dalam gelanggang dan mahu berehat seketika sebelum mempersiapkan diri pada sukan Olimpik Paris 2024, bulan hadapan.
Menurut laporan Kosmo! Online, Zii Jia menganggap kemenangannya dalam Kejohan Badminton Terbuka Australia yang berjaya menewaskan pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada perlawanan akhir kelmarin sebagai satu tanda positif dan membuktikan prestasinya semakin hampir pada peringkat terbaik.
Foto: AFP
Sementara itu, bekas juara Asia dan All England itu turut mengakui bahawa prestasi yang ditonjolkan dalam beberapa minggu sebelum ini dilihat semakin positif lebih-lebih lagi selepas menjuarai dua perlawanan termasuk Terbuka Thailand dua bulan lalu.
“Jika bercakap mengenai perubahan, sebenarnya saya sudah berubah banyak dari segi mental kerana lebih tenang sekarang di dalam gelanggang. Bagi saya, ini adalah petanda positif untuk saya ke arah Sukan Olimpik nanti.
“Banyak perkara positif yang berlaku dalam tempoh empat ke lima minggu ini. Sekarang saya akan balik (ke Malaysia), berehat dan ‘cas semula’ sebelum buat persiapan terbaik untuk ke Olimpik,” katanya.
Pemain yang berada di kedudukan kelapan dunia ini menjadikan kejuaraan pada Jelajah Dunia Super 500 itu sebagai tonik terbaik memandangkan dia dianggap sebagai prospek untuk menyumbang pingat emas temasya Olimpik pertama negara.
Foto: IG BAM
Dalam pada itu, Zii Jia berkata, dia tidak terfikir untuk memenangi perlawanan tersebut memandangkan aksi menentang Naraoka antara perlawanan paling sukar yang pernah dihadapinya sejak bergelar pemain profesional.
“Saya tidak fikir dapat mara ke final dan menang dengan cara (perlawanan sukar) seperti ini. Satu perlawanan yang sangat menarik, mungkin salah satu kemenangan terbaik dalam karier saya.
“Saya fikir Kodai (Naraoka) juga sudah berikan segala-galanya pada perlawanan ini. Secara keseluruhan, kami berdua sudah berikan yang terbaik untuk final Terbuka Australia,” ujarnya lagi.
Sumber: Kosmo! Online (Muhammad Helmee Ramli)