Polis masih menjalankan siasatan untuk mencari seorang guru wanita dari Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor yang dilaporkan hilang sejak 26 Disember tahun lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak menyatakan bahawa laporan berhubung kehilangan wanita berusia 33 tahun itu telah diterima pada pukul 12.36 tengah malam, 27 Disember 2023.
Foto: NST
Menurutnya, laporan kes kehilangan mangsa, Istiqomah Ahmad Rozi ini telah diterima dan pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan jejak wanita berkenaan.
“Ya, laporan mengenai kes ini ada diterima dan kes masih dalam siasatan serta usaha mengesan juga masih diteruskan,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini, kes kehilangan Istiqomah menjadi tular di media sosial apabila dia dilaporkan tidak pulang ke rumah setelah keluar bekerja pada hari tersebut.
Foto: Sinar Harian
Difahamkan, kereta dan kunci kenderaan yang dinaiki oleh Istiqomah telah ditemui di sekitar Lotus Kota Masai sekitar jam 2 petang pada tanggal 27 Disember lalu.
Susulan itu, pihak keluarga menyeru orang ramai yang memiliki sebarang maklumat mengenai Istiqomah boleh menghubungi Mohd Yusof Mokhtar di talian 019-6919062, Saliha Ya (017-9052746) dan Johari (019-7049561).
Sumber: Sinar Harian (Shahrizal Ahmad Zaini)