Pada pengumuman Belanjawan 2024 yang lalu, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM 16.3 billion akan diperuntukkan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menambahbaik infrastruktur seperti jaringan wifi dan internet, selenggaraan fasiliti, pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di universiti awam.
Peningkatan peruntukan sebanyak RM 1 billion ini adalah lebih banyak berbanding dengan peruntukan pada tahun 2023. Dengan adanya peningkatan peruntukan ini diharapkan mampu menambah baik mutu perkhidmatan dan kualiti pada pendidikan tinggi di Malaysia.
Bagi melayakkan diri memasuki institusi awam seperti universiti, politeknik dan ILKA, pemohon perlu memastikan permohonan dibuat melalui UPUOnline. UPUOnline adalah medium utama kepada lepasan SPM, STPM/ Diploma setaraf dan sijil terutamanya untuk memasuki institusi pengajian awam di bawah naungan Kementerian Pendidikan Tinggi. UPUOnline telah melalui fasa penambahbaikan yang banyak dan berterusan untuk memenuhi keperluan pendidikan peringkat tertiari negara dengan mengadakan aktiviti promosi Jom Masuk U! serta projek outreach ke seluruh negara bagi memastikan lepasan sekolah dan sijil atau diploma mendapat tempat pengajian bidang yang mereka inginkan.
Walau bagaimanapun, selepas gelombang COVID-19, institusi pendidikan negara menyaksikan perubahan di mana para pelajar dilihat sudah mula hilang minat untuk memberi komitmen di dalam kelas.
Lebih parah lagi apabila terdapat laporan yang dipaparkan oleh media massa dan media sosial bahawasanya sejak dua tahun kebelakangan ini, semakin ramai pelajar lepasan SPM tidak mempunyai minat untuk meneruskan pengajian di peringkat tertiari.
Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian (2023), seramai 300,000 orang pelajar lepasan SPM dilaporkan tidak mahu meneruskan pengajian di peringkat tertiari kerana lebih tertarik untuk menceburi ekosistem ekonomi gig.
Sifat ekonomi gig ekonomi yang menerapkan pekerjaan ‘project base’ dan durasi komitmen kerja yang singkat telah menukar lanskap pekerjaan di Malaysia, malah juga di dunia. Aktiviti pekerjaan dalam gig ekonomi juga tidak memerlukan pengetahuan yang rumit dan latar belakang kelulusan yang tinggi, tetapi menjanjikan pendapatan yang tinggi telah menarik perhatian dan minat belia di Malaysia.
Situasi ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada halatuju dan misi negara bagi menghasilkan 35% pekerja tenaga mahir negara. Ini kerana data terkini di Kementerian Sumber Manusia (KSM) merekodkan Malaysia hanya berjaya menghasilkan pekerja tenaga mahir negara sebanyak 28% sahaja.
Antara cabaran yang menyumbang kepada berlakunya situasi seperti ini adalah dengan kewujudan ‘Disruptive technology’ telah membantu perkembangan ekonomi abad ke-21 dengan mencipta suatu industri yang baharu yang menawarkan produk dan servis yang lebih murah dan efektif serta mesra pengguna (Kostoff et.al., 2004).
Ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada pengguna secara keseluruhannya kerana ‘Disruptive technology’ mengganggu ekosistem pekerjaan konvensional yang sedia ada. Aktiviti gig ekonomi dijana dengan adanya kemudahan aplikasi yang mudah didapati di semua alat peranti pintar dan membolehkan rakyat yang tidak sofistikated menggunakan teknologi ini dan menjana kewangan.
Menurut Allo.my, kebanyakan pekerja di dalam gig ekonomi adalah daripada usia belia dari lingkungan usia 25-34 tahun (46.2%) dan 35-44 tahun (32.5%). Usia belia ini berdasarkan laluan kerjaya konvensional adalah mereka ditempatkan di institusi pendidikan tinggi bagi melengkapkan pengajian sijil, diploma, atau sarjana muda.
Cabaran kedua adalah, menurut laman sesawang India Today Education Desk (2023), ‘life-attention span’ atau rentang perhatian adalah semakin berkurangan dengan adanya ‘disruptive technology’ seperti Instagram shorts, reels dan lain-lain medium media sosial yang hanya memaparkan durasi kandungan dalam masa kurang dari 1 minit menyebabkan pengguna tidak mahu menghabiskan masa terlalu lama dalam menerima maklumat yang diterima.
Selain itu, kaedah pembacaan ‘skimming through’ iaitu membaca sekali lalu dengan tidak mendalam menyebabkan para pelajar khususnya baik kanak-kanak di bangku sekolah juga tidak mempunyai minat untuk berada di dalam ruangan statik dan menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Sebagai pendukung halatuju negara, pihak kementerian seharusnya lebih proaktif dan adaptif dalam perkembangan sosioekonomi dan teknologi dengan memahami perkembangan senario di industri dan keperluan semasa masyarakat.
Ini kerana laluan pendidikan konvensional di mana para pelajar akan terus ke inistitusi pendidikan tinggi selepas tamat SPM adalah tidak relevant lagi dengan kewujudan perkembangan teknologi semasa.
Menurut Marginean, mereka yang dilahirkan pada tahun 1995 adalah generasi Z, bersama-sama generasi millennials atau generasi Y akan mendominasi keperluan pasaran perkerjaan.
Untuk itu, pendekatan dan dan ‘business code of conduct’ harus berbeza dari bagaimana generasi sebelum ini amalkan. Generasi Z yang lahir selepas generasi millennials (gen Y) adalah ‘digital natives’ yang tidak pernah hidup di zaman yang tiada internet dan teknologi analog.
Adalah penting untuk pelaksana modus operandi kerajaan untuk memahami apa itu generasi Z. Menurut gwi.com (2023), terdapat tujuh 7 ciri-ciri karekter mereka dari generasi Z iaitu:
- Motivasi mereka adalah pulangan kewangan dan bercita-cita tinggi
- Mereka gemar melancong
- Mereka lebih terdedah kepada anxiety
- Mereka tahu menetapkan ‘boundaries’ terhadap sesuatu
- Mereka gemar bermain games
- Mereka sangat gemar mengimbau perkara yang nostalgia berbanding perancangan masa hadapan
- Mereka menggunakan media sosial dalam kaedah yang unik
Kini, terdapat generasi baharu yang bakal memasuki pendidikan tinggi iaitu generasi Alpha. Masalah dan cabaran terhadap perubahan kecenderungan dan psikografi generasi Alpha adalah berbeza dari generasi Z yang sebelumnya.
Apabila karakter dan kecenderungan Generasi Alpha telah dikenalpasti, pihak kerajaan akan mampu mendapatkan cadangan jalan penyelesaian masalah bagi menarik perhatian mereka untuk meneruskan pendidikan tinggi.
Dalam usaha pendekatan ‘Making Studying Sexy Again’, pihak kerajaan seharusnya menawarkan peluang pendidikan yang lebih fleksible dan dapat memberikan ruang kepada para pelajar ini untuk menentukan kaedah serta halatuju mereka selepas tamat pengajian. Berikut merupakan cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan lagi kecenderungan para pelajar lepasan SPM kepada pendidikan tinggi:
- Meningkatkan aktiviti seperti kempen-kempen yang bersifat digital yang membawakan ‘feel good factor’ terhadap pendidikan tinggi selepas SPM ini supaya sijil kelayakan yang bakal mereka perolehi itu mampu memberikan pulangan yang setimpal terhadap masa dan wang yang telah mereka laburkan di institusi pendidikan tinggi dalam tempoh 3-4 tahun. Antara usaha sedia ada yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk menarik minat para pelajar untuk menimba ilmu dalam tempoh yang singkat adalah melalui Micro-Credentials atau lebih dikenali sebagai MC. MC diperkenalkan di mana para pelajar akan mendapat akses melalui pelbagai platform di laman sesawang dan memberi komitmen terhadap pengajian pendek yang disediakan
- Selain itu, memandangkan kebergantungan para generasi Z ini juga adalah tinggi terhadap teknologi peranti pintar, aplikasi UPUONLINE seperti UPUPocket perlu ditambah baik supaya ia lebih mesra pengguna, bersifat inklusif dan boleh dinikmati oleh pengguna android dan IOS.
- Pendekatan ‘brand association’ iaitu mencari rakan strategik dan juga pengiktirafan alumni institusi yang berjaya untuk aktiviti promosi dan education awareness juga perlu dipertingkatkan lagi bagi menambahkan lagi ‘feel good factor’ di kalangan para pelajar.
- Media mempunyai kuasa besar dalam memastikan maklumat disampaikan kepada orang ramai. Menambahkan lagi kerjasama strategik bersama rakan media mainstream & media sosial dalam usaha ‘shaping the masses mind’ melalui propaganda dan promosi yang berterusan dan menjadikan aktiviti ini sebagai tanggungjawab sosial pihak media dalam menghasilkan modal insan negara yang berkualiti.
- Kajian pasaran dan akademik yang bersifat holistik dan berterusan dalam memahami trend semasa keperluan pendidikan tinggi dan generasi yang sentiasa berubah-ubah perlu lebih giat dijalankan supaya setiap penambahbaikan dan pembaharuan yang dilakukan terhadap usaha dan inisiatif sedia ada adalah berasas dan mempunyai data empirikal semasa yang relevan untuk rujukan masa akan datang.