Pihak polis sedang menjalankan siasatan sejak Rabu berhubung kes bangkai babi dibuang di hadapan sebuah masjid di Selatan Sweden oleh individu yang tidak dikenali.
Memetik laporan Alrabiya News, polis Sweden berkata, kejadian tersebut dianggap sebagai satu tindakan yang timbul daripada perasaan benci terhadap kumpulan etnik namun, motif lain berkemungkinan muncul semasa siasatan ini berlangsung.
Foto: Reuters
“Seekor babi telah dibuang di hadapan bangunan masjid.
“Kejadian ini diklasifikasikan sebagai perasaan kebencian terhadap kumpulan etnik tetapi syak wasangka lain mungkin menyusul kemudian,” kata polis Sweden di laman web rasminya.
Menurut ketua yayasan masjid di Skovde, Smajo Sahat memberitahu bahawa bangkai haiwan berkenaan merupakan babi hutan yang telah dilemparkan oleh seorang individu semasa menaiki sebuah kereta.
Foto: The Local Sweden
Difahamkan, bangkai babi yang ditemui oleh pengendali masjid terbabit dilihat sudah tidak bernyawa ketika dia ke lokasi kejadian.
“Saya datang pagi tadi (kelmarin) dan nampak ia sudah mati.
“Seorang individu datang dengan menaiki sebuah kereta dan melemparkan bangkai ini ke arah masjid. Kami tidak tahu siapa individu itu tetapi dia dirakam oleh kamera pengawasan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Sahat memaklumkan bahawa masjid yang telah dibuka sejak setahun lalu serta memiliki 1,000 jemaah itu tidak menerima sebarang ancaman setakat ini.
Sumber: Alrabiya News