Pakistan merekodkan bacaan suhu tertinggi pada musim panas, iaitu melebihi 52 darjah Celsius (125.6 darjah Fahrenheit) di tengah-tengah gelombang panas terutama di wilayah Sindh, Selatan Pakistan pada Isnin.
Menurut satu laporan Reuters, pegawai kanan Jabatan Meteorologi Pakistan Shahid Abbas berkata, bandar Mohenjo Daro di Sindh yang terkenal dengan tapak arkeologi yang bermula sejak Tamadun Lembah Indus yang dibina pada 2500 SM mencatatkan peningkatan suhu setinggi 52.2 C (126 F) dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Foto: Reuters
“Bacaan adalah yang tertinggi pada musim panas setakat ini, dan menghampiri paras tertinggi di bandar dan negara masing-masing iaitu 53.5 C (128.3 F) dan 54 C (129.2 F),” katanya.
Selain itu, Ketua Meteorologi di Jabatan Meteorologi Pakistan Sardar Sarfaraz memberitahu suhu paling tinggi yang pernah direkodkan di Pakistan adalah pada 2017 apabila suhu meningkat kepada 54 C (129.2 F) di bandar Turbat, yang terletak di wilayah Barat Daya Balochistan.
“Ini adalah yang kedua terpanas di Asia dan keempat tertinggi di dunia,” ujarnya.
Pasukan Saintis Antarabangsa pula berkata, suhu yang melampau di seluruh Asia sejak sebulan lalu menjadi lebih teruk berkemungkinan besar akibat perubahan iklim yang didorong oleh manusia.
Foto: Harian Metro
Sementara itu, seorang doktor tempatan Mushtaq Ahmed turut memaklumkan bahawa penduduk tempatan telah menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang melampau dan lebih suka tinggal di dalam rumah atau berhampiran dengan kawasan air.
Terdapat juga laporan dari peniaga yang mengeluh dengan keadaan cuaca panas kerana telah menjejaskan perniagaan mereka selain terpaksa menutup separuh kedai mereka untuk tidak terlalu terdedah terhadap sinaran cahaya matahari.
Untuk makluman, gelombang haba di Mohenjo Daro dan kawasan sekitarnya dijangka akan reda tidak lama lagi, namun terdapat jangkaan lain yang mengatakan kawasan lain di Sindh termasuklah ibu negara, Karachi akan dilanda bencana yang lain.
Sumber: Reuters (Akhtar Soomro, Ariba Shahid)