Sebuah projek pembangunan yang terletak di Taman Naga Emas, Salak Selatan diarah tutup oleh Construction Industry Development Board (CIDB) berikutan penemuan lapan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar tapak pembinaan, pada Khamis lalu.
Hal ini telah dimaklumkan dan disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui di tapak pembangunan tersebut.
“Hari ini pihak kami telah mengadakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB Wilayah dengan lapan agensi yang terlibat untuk membuat pemeriksaan ke tapak binaan.
“Bermula Januari hingga April tahun ini, sebanyak 1,528 jumlah operasi penguatkuasaan telah dibuat. Pada hari ini, CIDB menemui bagaimana bahan-bahan binaan yang boleh menyebabkan keselamatan pekerja dan keselamatan bangunan terancam,” katanya.
Ahmad Maslan berkata, kompaun telah diberikan kepada pemaju sebanyak RM4,000 atas kesalahan kecuaian pengendalian di tempat yang tidak bersih.
Malah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melihat terdapatnya sampah-sampah yang bercampur antara sampah makanan dan sampah dari tapak pembinaan.
“Oleh itu, saya mengharapkan agar pihak kontraktor yang membina rumah dan jalan di negara ini, supaya sentiasa diawasi oleh CIDB khasnya. Hal ini penting bagi memastikan keselamatan pekerja dan bangunan yang dibina itu dapat berdiri dengan kukuh dan berkualiti.
“Pihak pemaju yang dikenakan kompaun akan lebih berhati-hati selepas ini atas kesalahan yang mereka lakukan. Negara kita turut dikukuhkan dengan akta perundangan yang memperuntukkan pihak pemaju menjalankan aktiviti pembinaan mengikut prosedur yang terlah ditetapkan,” ujarnya.
Turut hadir dalam operasi adalah Timbalan Ketua Eksekutif 1 CIDB Malaysia, Razuki Ibrahim, Pengarah Negeri CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dato’ Ts Gerald Sundaraj dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia, Mohd Hafiz Dasahi.
Untuk rekod, CIDB sering mengadakan kursus-kursus bagi memberi pendedahan buat kontraktor agar mengikuti landasan pembinaan yang teratur dan berkualiti buat sistem pembangunan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menyeru kepada semua pemaju untuk menyelidiki dan memasuki kursus-kursus tersebut bagi mengelakkan kesalahan sebegini berulang kembali.