Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram hingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.
Memetik kenyataan media, keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Foto: Jabatan Mufti Johor
Objektif mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan hari ini berkata, menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
Manurutnya, jenazah suspek tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian malah hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
Foto: Kosmo
Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
Terdahulu, dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.
Foto: Berita Harian
Kejadian dipercayai jam 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.