Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai pembukaan kemasukan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada bukan Bumiputera.
Menerusi satu kenyataan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau memaklumkan sekali lagi dengan tegas bahawa isu ini tidak dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT mahupun peringkat Kabinet.
Foto: Business Today
“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, isu tersebut sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba untuk mengganggu gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.
“KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.
Foto: Media Sosial
Terdahulu, Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan bahawa universiti tersebut telah bersetuju untuk membuka program berkenaan secara sementara kepada graduan bukan bumiputera pada 25 April lalu.
Bagaimanapun, Zambry berkata bahawa tiada perbincangan antara kementerian dan institusi pengajian tinggi awam tersebut kerana tidak menerima sebarang permohonan daripada UiTM untuk membuka program parallel pathway kepada bukan bumiputera.