Pemain pinjaman Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang beransur pulih daripada kecederaan dijangka akan sertai perlawanan menentang Penang FC pada 19 Mei ini.
Memetik laporan Majoriti, pengendali TFC iaitu Tomislav Steinbruckner menyatakan anak buahnya itu bakal menjalani latihan di padang bermula minggu hadapan sekali gus diharap dapat memperkuatkan lagi pasukan pada perlawanan akan datang.
Foto: The Sun
Ujarnya, pemain berusia 25 tahun itu telah beransur pulih setelah menerima enam jahitan rentetan daripada insiden yang menimpanya sebelum ini.
Walau bagaimanapun, Tomislav berkata, Akhyar berkemungkinan terlepas perlawanan pembukaan Liga Super menentang Perak kerana masih diberikan ruang untuk berehat bagi memastikan mentalnya kembali stabil.
Foto: IG Akhyar Rashid
“Akhyar akan kembali ke padang usai aksi TFC menentang Perak dan akan diberi rehat beberapa hari lagi selepas kecederaannya sembuh dan mentalnya kembali stabil,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan jahitan di kepala Akhyar yang juga pemain sayap bagi pasukan Harimau Malaya akan dibuka dalam masa terdekat ini.
Terdahulu, Akhyar yang dilaporkan telah disamun sehingga memerlukan empat jahitan di bahagian kepala dan dua dikakinya ini turut mengalami kerugian kira-kira RM4,800.
Sumber: Majoriti (Frezella Amil)