Sumber memaklumkan kumpulan legenda antarabangsa, Linkin Park akan membuat reunion sekali gus melancarkan siri jelajah konsert pada 2025.
Memetik artikel Billboard, untuk melengkapkan anggota kumpulan yang kini tinggal tiga iaitu Mike Shinoda, Brad Delson dan Dave Farrell selepas kematian vokalisnya, Chester Bennington, Linkin Park mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat vokalis perempuan.
Foto: Linkin Park Live
Malah, spekulasi tentang Linkin Park ‘berkumpul’ semula ini sempat ‘disahkan’ oleh Jay Gordon dari Orgy yang mendakwa terdengar kumpulan tersebut akan kembali aktif.
“Linkin Park memang alami kesukaran tanpa Bennington tetapi mereka akan kembali. Saya dengar bersama vokalis perempuan,” katanya yang bagaimanpun kemudiannya menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.
Foto: Vanity Fair
Sementara itu, timbul spekulasi bahawa kumpulan yang terkenal dengan lagu In The End itu akan kembali bersama vokalis perempuan iaitu penyanyi Evanescence, Amy Lee yang dikatakan akan mengantikan tempat Bennington.
“Saya tidak pasti tentang itu, tetapi jika betul ia memang luar biasa,” kata Amy Lee sekali gus menyangkal tentang gosip tersebut.
Untuk rekod, Linkin Park adalah salah sebuah kumpulan paling sukses di dunia pada tahun 2000 dengan album mereka terjual sebanyak 29.4 juta unit hanya di Amerika Syarikat.
Namun selepas kematian Chester Bennington pada Julai 2017, kumpulan itu kini berehat sementara sehingga pengumuman lanjut mengenai siapa yang akan menggantikan Bennington dalam kumpulan berkenaan.