Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menganjurkan tayangan skrin besar bagi pertembungan melibatkan skuad Malaysia dan China pada peringkat separuh akhir Piala Thomas 2024.
Menerusi satu laporan Sukanz, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melalui hantaran di pelbagai platform media sosialnya memberitahu perkara tersebut sebagai tanda sokongan kepada skuad negara.
Foto: FB Hannah Yeoh
“Tayangan skrin besar perlawanan separuh akhir Piala Thomas 2024 untuk pasukan Malaysia.
“KBSMalaysia akan menyediakan skrin besar untuk rakyat Malaysia mengikuti siaran separuh akhir Piala Thomas. Mari beramai-ramai dan bersorak untuk pasukan kita pada Sabtu ini!,” katanya pagi tadi.
Beliau berkata, pertembungan tersebut dapat disaksikan secara beramai-ramai menerusi tayangan skrin besar seluruh negara melibatkan 15 lokasi yang terpilih.
Foto: FB Hannah Yeoh
“Dataran Merdeka Selangor (Kuala Lumpur), SACC Mall, Shah Alam (Selangor), Dataran Putrajaya, Presint 3 (Putrajaya), Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar (Perlis), Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, Alor Setar, Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya (Perak), Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Paroi dan Dataran Bandaraya MBMB, Ayer Keroh (Melaka).
“Selain itu, di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru, Dataran Kolej Poly-Tech MARA, Kota Bharu (Kelantan), Ali Spices, Kampung Ladang, Kuala Terengganu, Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (Pahang), Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Kuching, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sabah, Putatan dan Gelanggang Futsal Hassan Sani, Kompleks Sukan Labuan,” ujar beliau.
Hannah turut memberitahu pertembungan itu berlangsung di Chengdu High-tech Zone Sports Center Gymnasium, Chengdu, China dan akan disiarkan bermula jam 5 petang waktu Malaysia pada 4 Mei.
Foto: Bernama
Untuk makluman, pasukan Malaysia buat julung kalinya berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Thomas selepas lapan tahun apabila mendapat kemenangan 3-1 ke atas Jepun, semalam.
Sumber: Sukanz (Hafizuddin Omar)