Malaysia telah dipilih menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini.
Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kejayaan itu susulan persiapan awal dilaksanakan Tabung Haji (TH) dalam pelbagai aspek.
Foto: FB Dato’ Setia Dr Naim
“Dengan adanya keupayaan daripada sudut komitmen warga kerja dan sistem sedia ada, apabila permohonan visa dibuka kita yang pertama sekali uruskan dengan cepat, itu asasnya dan sudah tentu melalui perjanjian yang kita uruskan daripada awal maka ia menjadi lebih mudah.
“Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas kecepatan agensi kita ini sehingga berjaya mendapatkan visa awal daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya pada Ahad.
Foto: FB Dato’ Setia Dr Naim
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata dirinya turut tidak melepaskan peluang untuk turun padang bagi menyantuni dan melihat gerak kerja warga TH termasuk kakitangan sambilan yang dilantik dalam urusan pemprosesan visa.
“Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan mereka, memberi semangat dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana bantu TH. Mereka sangat penting kerana visa ini kalau tidak dapat, maka jemaah kita tidak boleh ke tanah suci,” ujarnya.
Turut dilihat hadir, Pengerusi TH iaitu Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Sumber: Bernama