Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau di Avenue K Mall, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 27 April.
Menerusi satu kenyataan, menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, negara perlu membangunkan tenaga kerja sedia industri bagi memenuhi keperluan pelaburan Ekonomi Hijau kerana dapat memacu pertumbuhan, pendapatan dan pekerjaan tanpa mengorbankan sumber ekosistem dan biodiversiti semula jadi.
Foto: Kosmo
“Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau merupakan satu usaha KESUMA dengan kerjasama industri dan akademia yang julung kali diadakan untuk memperkukuh pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan hijau selaras dengan keperluan ekonomi dan kemampanan alam sekitar di rantau ini,” katanya hari ini.
Steven Sim berkata, karnival itu diadakan bersempena Forum Pekerjaan Hijau ASEAN yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dan kesedaran dalam mempersiapkan bakat dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang secara bermakna kepada ekonomi hijau yang sedang maju.
Foto: FB Avenue K
“Matlamat kami adalah untuk membina tenaga kerja yang cekap dilengkapi dengan kemahiran hijau yang dicapai melalui pengenalan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula individu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam Ekonomi Hijau,” ujarnya.
Beliau memberitahu, penganjuran karnival itu sebagai tindak balas terhadap peningkatan permintaan bakat profesional mahir mengikut rangka kerja strategik yang dibentang kerajaan dalam Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030 (GMTP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Sementara itu, pengujung yang hadir berpeluang menyertai 12 program bual bicara (pocket talk) yang akan membincangkan pelbagai topik melalui penceramah profesional daripada pelbagai organisasi seperti Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, EY Malaysia, LinkedIn Malaysia, HRD Corp, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Malaysian PayGap dan banyak lagi.
Foto: FB Avenue K
Selain itu, sebanyak 22 organisasi akan mempamerkan usaha mereka dalam kemampanan inovasi teknologi hijau termasuklah POS Malaysia, Modenas, Gentari, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Cyberview Sdn Bhd, Amanah Lestari Alam, Sustain.Ed – Sea Monkey Project X Earth Heir, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta banyak lagi.
PERKESO juga menganjurkan Karnival Kerjaya Hijau MYFutureJobs, dimana lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan dari hampir 60 majikan seperti AEON Co. (M) Berhad, RHB Bank Berhad, DME Solutions Sdn Bhd, Kumpulan Tan Chong, IHH Healthcare Malaysia, FGV Holdings Berhad, Sols Energy Sdn Bhd, United Solar Energy Malaysia Sdn Bhd, ERS Energy Sdn. Bhd, Ranhill Bersekutu Sdn Bhd, IFP Engineering Solutions Sdn Bhd, UOA Group dan banyak lagi.
Foto: FB Avenue K
PERKESO turut akan mengadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs KESUMA Madani bersempena Hari Pekerja 2024 yang menawarkan lebih 10,000 jawatan kosong bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) (30 April dan 1 Mei) dan di beberapa Negeri termasuklah Kelantan (4 dan 5 Mei), Johor (5 Mei) serta Sarawak (18 dan 19 Mei).
Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival Kemahiran Hijau KESUMA dan Karnival Kerjaya Hijau MYFutureJobs, pengunjung boleh melayari KESUMA Green Skills Fair | TalentCorp Malaysia dan www.myfuturejobs.gov.my.