Tiga rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri berjaya tiba di Madinah, Arab Saudi selepas 150 hari melakukan pengembaraan berbasikal dari Kuala Lumpur dengan misi untuk menunaikan ibadah haji pada 19 April, Jumaat lepas.
Menerusi satu laporan Bernama, mereka terdiri daripada Ahmad Mohd Isa berusia 36 tahun, isterinya Noradilah Mohd Sapie pula 37 tahun dan Abdul Halim Talha, 57 tahun yang merupakan kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM).
Foto: FB Ahmad Isa
“Tiba di destinasi selepas menempuh perjalanan sejauh 12,000 kilometer (km),” katanya.
Menurut Ahmad, kayuhan ke Madinah tahun ini lebih singkat berbanding kayuhan sama yang dilakukannya sembilan tahun lepas dan separuh perjalanan mereka terpaksa menggunakan kenderaan seperti kereta api, kapal terbang, feri dan kereta atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Pada 2016, saya dan isteri ketika itu baru lepas berkahwin dan pengembaraan berbasikal lebih kepada berbulan madu dengan membabitkan 14 negara yang mengambil masa setahun tiga bulan untuk sampai ke Makkah sebelum menunaikan ibadat umrah.
Foto: FB Ahmad Isa
“Tapi pengembaraan kali ini lebih berfokus iaitu menunaikan haji yang membabitkan laluan tujuh negara dengan lima bulan sahaja masa yang diambil untuk sampai di sini (Madinah),” katanya.
Dia juga berkata, mereka bertiga tiba di Thailand terlebih dahulu sebelum mengambil penerbangan ke India dan menyambung kayuhan ke Pakistan dan Iran, kemudian menaiki feri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), terus berkayuh ke Arab Saudi.
Ahmad turut memberitahu seorang lagi rakannya, Che Saad Nordin (74) yang berbasikal bersama pada peringkat awal tidak dapat meneruskan perjalanan kerana faktor geografi pergunungan dan cuaca sejuk di Pakistan menjejaskan kesihatan Che Saad sekitar Januari lepas.
Foto: FB Ahmad Isa
“Selepas perbincangan bersama dan mendengar nasihat doktor supaya tidak meneruskan kayuhan basikal, Pak Ad bersetuju mengambil tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
“Alhamdullilah, selepas tiba di tanah air dan mendapat rawatan susulan, kesihatannya kini bertambah baik,” ujar Ahmad.
Sementara itu, ketiga-tiga mereka menghasilkan poskad yang berilhamkan setiap negara dijelajahi untuk menampung kos haji dan berjaya menjual 1,558 keping dengan nilai lebih RM141,000 sepanjang jualan mereka itu.
Sumber: Bernama (Mohd Afiq Zulkifli)