Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat dari parti pembangkang.
Menurut satu laporan Utusan Malaysia, Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan perkara tersebut dicapai semasa Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat yang diadakan di Sri Perdana, Putrajaya semalam.
Foto: FB Fadillah Yusof
“Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,”
“Ke arah itu, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya,” katanya.
Foto: FB Fadillah Yusof
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu dan dipengerusikan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.
Foto: FB Fadillah Yusof
Terdahulu, Fadillah memberitahu bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat antara pemimpin untuk membincangkan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Keputusan itu dibuat selepas perjumpaan Fadillah dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Parlimen pada 19 Mac lalu.
Sumber: Utusan Malaysia (Siti Maisarah Binti Sheikh Abdul Rahim)