Polis Daerah Melaka menahan sekumpulan lelaki di sekitar Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak bagi membantu siasatan berhubung seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dipukul sehingga lebam pada akhir bulan lalu.
Memetik laporan Harian Metro, pelajar Tingkatan tiga itu dipukul sehingga lebam seluruh badan akibat perselisihan faham dan rasa tidak puas hati berpunca daripada tindakan ejek-mengejek.
Foto: Free Malaysia Today
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata kejadian itu dikesan selepas video pergaduhan yang berlaku di Pantai Puteri, Tanjung Kling tular di media sosial pada Khamis.
“Polis menerima satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 65 tahun pada 31 Mac lalu selepas mendapati cucu lelakinya yang berusia 15 tahun dipukul oleh sekumpulan lelaki di Pantai Puteri sehari sebelumnya.
“Pengadu kemudian membawa cucunya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan mangsa kini masih dirawat,” katanya.
Pelajar Tingkatan Tiga dipukul sehingga lebam
Tambahnya, bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan dan menahan 23 individu berusia 15 hingga 20 tahun bagi membantu siasatan.
Menurut Zainol, semua suspek yang berumur di bawah 18 tahun adalah pelajar dari sekolah berbeza di sekitar kawasan Tanjung Kling.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Hasil penahanan semua individu terbabit, polis turut merampas tiga topi keledar serta sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden itu,” ujarnya.
Zainol turut memaklumkan semua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan memandangkan kebanyakan mereka adalah pelajar.
Sumber: Harian Metro (Meor Riduwan Meor Ahmad)