Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melaporkan akan merakam keterangan dari semua pemilik akaun yang memuat naik hantaran palsu di media sosial kononnya Malaysia berhenti menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran.
Menerusi laporan Sinar Harian, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata bahawa SKMM telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat, tindakan pengesanan terhadap mereka juga sedang giat dijalankan.
Foto: FB Fahmi Fadzil
“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik mesej terancang seumpama itu bukannya kali pertama berlaku malah dikesan sejak Februari lagi.
“Cukup-cukuplah, tindakan memuat naik hantaran seumpama itu di media sosial adalah satu fitnah sangat jahat kepada kerajaan, agama Islam dan institusi diraja di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasa anjuran SKMM semalam.
Fahmi juga memberikan peringatan kepada orang ramai untuk tidak meninggalkan komen atau buat sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R, iaitu berkaitan perkauman, agama dan raja.
“Berhati-hati kerana kita telah diminta bertindak lebih tegas,” ujar beliau.
Foto: Media sosial
Terdahulu, terdapat beberapa dakwaan di aplikasi Facebook dan X kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan tilawah al-Quran sebaliknya hanya memfokuskan kepada penganjuran konsert.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan turut menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah ditetapkan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang.
“Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan berlangsung pada 5 hingga 12 Oktober depan,” katanya.
Foto: Sinar Harian
Sementara itu, Fahmi berkata majlis berbuka puasa itu merupakan satu platform terbaik dalam memperkasa hubungan antara SKMM dengan agensi penguatkuasa sekali gus mengukuhkan usaha pelaksanaan undang-undang termasuk berkaitan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Turut hadir dalam majlis berbuka puasa tersebut Pengerusi SKMM, Tan Seri Mohamad Salim Fateh Din dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Sumber: Sinar Harian