Jenazah pelajar Malaysia, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni yang maut dalam kemalangan di New Zealand minggu lalu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim Cemetery, Bromley, Christchurch New Zealand, hari ini.
Menurut laporan Buletin TV3, jenazah Allahyarham Ashman sebelum itu dibawa ke Masjid An-Nur untuk dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan dan kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Muslim Cemetery kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan untuk dikebumikan.
Foto: Buletin TV3
Dalam pada itu, nenek Allahyarham, Nor Hanita Meor Mohd Nor turut menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Zuhur di Masjid Sultan Yussuf, Rapat Setia, Ipoh hari ini.
Antara ahli keluarga yang dilihat hadir, ibu dan bapa Allahyarham, Noor Aishah Abdul Latif dan Megat Irman Jefni, serta adik Allahyarham iaitu Megat Rayyan Dashrin.
Foto: Utusan
Terdahulu, selain Ashman, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada jam 1.45 petang waktu tempatan.
Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari universiti sama serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.
Sumber: Buletin TV3