Seorang pempengaruh media sosial dari Somalia yang dikenali sebagai Sagal Ali menunjukkan keterujaannya dengan memuji kecantikan telekung wanita di Malaysia.
Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok @yourtypicalcouple, dapat dilihat wanita tersebut sedang memuji kecantikan wanita Malaysia ketika mengerjakan solat dengan memakai telekung.
@yourtypicalcouple
Dia menyatakan bahawa kecantikan itu terserlah apabila pakaian solat bagi kaum hawa di negara ini ditutup dengan sempurna auratnya.
“Satu perkara yang saya perasan wanita di negara ini apabila mereka ingin solat, mereka memakai pakaian solat yang sangat cantik,” katanya.
Selain itu, ibu kepada tiga orang anak ini juga mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat budaya lain yang menunjukkan kecantikan pakaian seperti telekung ketika melakukan ibadah.
Dalam pada itu, Sagal menyatakan bahawa di Malaysia, mereka menyebutnya sebagai ‘telekung’ yang pada dasarnya merupakan gaun solat.
Dapat dilihat di dalam video yang berdurasi 31 saat itu memperlihatkan Sagal dan anak perempuannya sedang memakai telekung semasa berada di dalam sebuah masjid.
“Anak perempuan saya sangat suka memakainya setiap kali kami pergi ke masjid,” ujarnya.
Selain daripada berkongsi pengalaman dipuji wanita dari Nigeria ketika berada di Mekah kerana kelihatan cantik dan bersih, ada juga netizen yang memaklumkan bahawa mereka memiliki lebih daripada satu telekung.
Kita punya telekung best tahap boleh buat tidur sampai tengah hari…
Masa kat Mekah, orang Nigeria datang cakap telekung Malaysia semua cantik, nampak bersih je…
Kita sentiasa ada telekung lebih untuk setiap seorang
Terdahulu, Sagal sering berkongsi perkara-perkara menarik bersama suami dan anak-anaknya tentang keindahan di Malaysia melalui akaun TikTok miliknya.
Sumber : TikTok @yourtypicalcouple