Kementerian Pertahanan (MINDEF) berharap lelaki yang disyaki ejen perisikan Israel yang ditahan pada Rabu lalu disiasat secara menyeluruh bagi pastikan tiada perisik lain di dalam negara ini.
Menteri MINDEF, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penyiasatan menyeluruh itu perlu memandangkan negara kini bersuara lantang dalam mempertahankan Gaza, Palestin yang kini diserang Israel.
Khaled Nordin mahu lelaki Isreal disiasat, pastikan tiada perisik lain
Foto: Sinar Harian
“Saya harap siasatan dapat dijalankan ke atas lelaki warga Israel yang ditahan itu. Ini kerana kita tidak tahu berapa ramai ejen perisikan Israel yang mungkin masih ada.
“Saya difahamkan ada lima orang, senjata juga berjaya dirampas. Pokoknya mungkin, kehadiran perisik Israel ini kerana pendirian negara khususnya dalam mempertahankan Palestin dan menentang tindakan Israel di Gaza.
“Maknanya kita dapat kesan bukan sahaja serangan siber kerana pendirian kita tapi hari ini, kita dapat lihat ejen perisikan masuk dalam negara dengan pistol yang kita pun tak tahu apa tujuannya,” katanya.
Foto: Berita Harian
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasat Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram di Johor Bahru pada Sabtu.
Artikel lain: PLKN 3.0 Berkemungkinan Tidak Libatkan Pelajar Sekolah – MINDEF
Mohamed Khaled turut berkata kerjasama antara kementeriannya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan dilakukan sekiranya terdapat sebarang permintaan daripada PDRM sendiri.
“Ada bidang kuasa masing-masing. Dalam soalan keamanan di bawah bidang kuasa PDRM. Saya percaya PDRM mampu menjalankan tanggungjawab. Bagi angkatan tentera pula, ada bidang kuasa kita.
“Kementerian Pertahanan akan meningkatkan kawalan keselamatan negara supaya terus dijaga dan dilindungi,” ujarnya.
Foto: Berita Harian
Terdahulu, seorang lelaki Isreal yang memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru telah ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu.
Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)